Pages

5 Ogos 2015

Salam Pengenalan dari Penulis

TEKS  : ATIQAH HANUM HARUN
FOTO : ATIQAH HANUM HARUN 

 
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, akhirnya yang dicita-citakan telah pun terlaksana. Hajat di hati ingin membuka blog secara berguru telah pun tercapai. Inilah blog berguru pertama saya yang berjaya dibuat. Sebelum berceloteh panjang, moleklah sekiranya saya memperkenalkan diri kepada semua.

Saya, Atiqah Hanum binti Harun merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur. Telah dilahirkan pada bulan kemerdekaan pada tanggal 6 Ogos 1987 bertempat di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Merupakan anak kedua daripada empat orang beradik, saya sememangnya merupakan kakak yang garang dan sensitif (menurut adik beradik saya). Saya telah pun berkahwin pada tahun 2012 dan Alhamdulillah, saya telah dikurniakan sepasang cahaya mata hasil perkahwinan dengan suami tercinta. Anak yang sulung berumur dua tahun dan yang kecil baru berumur 6 bulan


Saya sewaktu kursus gubahan
Dari segi pendidikan, saya bukanlah seorang yang bijak. Saya amat lemah dari segi teori sewaktu pembelajaran. Disebabkan keputusan saya yang tidak begitu cemerlang, saya telah meminta ibu saya untuk menyambung pelajaran ke sekolah vokasional iaitu Sekolah Menengah Teknik Dato' Lela Maharaja, Rembau, Negeri Sembilan dan memilih bidang Hortikultur Hiasan & Landskap. Alhamdulillah, rupanya saya amat mudah memahami pelajaran dalam bentuk amali dan keputusan peperiksaan juga memberangsangkan. Selepas tamat SPM saya pernah memasuki UiTM dalam bidang Arkitek Landskap tetapi malangnya silibus yang dipikul bagi saya amat berat dan dengan pasrah saya berhenti dari UiTM dan menyambung pelajaran di Institut Pertanian Malaysia. Alhamdulillah, memang saya cemerlang dalam pendidikan yang mempunyai amali, bukan teori semata-mata. Di Institut Pertanian ini saya telah memilih bidang pengkhususan Landskap kerana minat saya terhadap bidang Landskap dan berjaya menamatkan pelajaran dengan CGPA 3 ke atas.

Setelah tamat belajar, saya dan rakan-rakan sekolej berjaya mendapatkan pekerjaan di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC) dengan jawatan sebagai Operator Mesin. Amat membanggakan kerana saya dan rakan-rakan merupakan antara operator wanita pertama yang membawa mesin-mesin penyelenggaraan di padang golf itu. Setelah beberapa bulan bekerja di KLGCC saya telah ditawarkan kerja sebagai Pembantu Penyelidik (Kontrak) di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Hampir setahun saya di MPOB, saya ditawarkan pula pekerjaan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pembantu Ehwal Ekonomi. Bekerja sebagai Pembantu Ehwal Ekonomi sememangnya amat memberi tekanan kepada saya kerana bebanan kerja yang banyak disebabkan kurang pekerja dikawasan tempat saya bertugas. Akhirnya setelah hampir dua tahun saya bersama LPP, agensi pekerjaan yang amat dinanti-nanti saya akhirnya merisik saya untuk berkhidmat sebagai Pembantu Pertanian di Jabatan Pertanian Serdang. Alhamdulillah, sehingga entri ini ditulis saya telah berkhidmat bersama Jabatan Pertanian hampir tiga tahun.

Saya amat minat memasak terutamanya kek dan 'dessert'. Minat ini semakin bercambah dari hari ke hari apabila saya ditempatkan di Unit Pembangunan Produk & Teknologi Serdang yang terlibat dalam menganjurkan Kursus Makanan. Bukan setakat memasak sahaja, malahan minat saya terhadap perniagaan juga tinggi. 

Sewaktu Kursus Bakeri

Mungkin disebabkan darah berniaga ibu mengalir di dalam badan menyebabkan saya amat suka untuk berniaga sejak dari kecil lagi.  Sejak dari kecil saya membantu ibu saya berniaga menjual kuih muih di gerai tepi jalan. Pada mulanya saya amat malu untuk membantu ibu berniaga tetapi lama kelamaan datang satu perasaan bangga berniaga walaupun di gerai tepi jalan sahaja. Pernah saya membawa kuih muih ke sekolah untuk dijual kepada rakan sekelas dan ianya habis dijual. Bermula dari situ, setiap hari saya membawa kuih untuk dijual kepada rakan-rakan. Bermulanya alam pekerjaan,saya mula berkecimpung dengan perniagaan di internet pula sehinggakan bermacam produk yang telah saya jual di internet iaitu produk kesihatan dan kecantikan. Sehingga sekarang saya masih lagi berniaga di internet sebagai pendapatan sampingan.

Disebabkan minat memasak dan berniaga juga menyebabkan saya suka untuk membeli dan membaca buku-buku resipi terutamanya buku kek dan masakan. Saya tidak pandai memasak tetapi disebabkan minat saya terhadap masakan,saya belajar sendiri melalui blog-blog masakan yang terkenal di alam maya terutamanya blog Che Mat Gebu. Selain itu, bahan bacaan yang amat saya minati adalah tulisan Chef Li dan Dr. Azizan Osman. Melalui tulisan mereka, saya mendapat keyakinan dalam berniaga dan secara tidak langsung memotivasikan diri

Untuk berkenalan dengan lebih dekat lagi, bolehlah menambah saya sebagai rakan di  Personal FB saya atau 'follow' blog saya. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan