29 Ogos 2015

ENTRI 11: KLINIK YANG MURAH DAN OKAY DI SERDANG

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN


Assalamualaikum w.b.t,

Sewaktu mula pindah di Serdang, saya sering tercari-cari klinik yang murah bayarannya tetapi servis baik serta doktor yang prihatin terhadap pesakitnya. Ada beberapa klinik yang pernah saya dan suami singgah apabila anak sakit tetapi yang geramnya kebanyakan doktor cuma tengok dari jauh je, tiada pemeriksaan fizikal. Pula tu bayaran mahal tetapi ubatnya tidak seberapa. Memang kecewa sangat setiap kali dapat layanan macam tu.

'Kak, klinik mana yang okay dekat sini ya? Mahal lah klinik yang kota pergi dekat Serdang ni', akhirnya terluah juga apa yang saya pendam selama ini pada Kak ita, rakan sekerja saya. Itulah, malu bertanya bukan sesat jalan tapi berseret poket. Huhu

Jawapannya adalah klinik Public di Sri Serdang berdepan dengan Hero Mart. Cikgu-cikgu di taska Bukhari pun memang mencadangkan klinik ini. Doktor Yap Sau Chun satu-satunya doktor di klinik ini. Agaknyalah sebab setiap kali kami datang memang dia saja doktor yang akan melayan kami. Doktor Yap ini memang seorang yang 'best' sebab dia akan cek kita beria dan akan menerangkan dengan panjang lebar dengan nada yang lembut. Yang lebih seronok tu ubat yang diberi memang berkesan dan serasi dengan kami satu keluarga. Harga? Ini yang paling menarik sebab sehingga hari ini bayaran untuk setiap perkhidmatan tidak pernah melebihi RM20. Ubat dan mc dua orang, kami pernah dicas RM50++ sahaja.

Patutlah ramai pesakit di klinik ini kerana servis yang tip top, doktor yang peramah, ubat berkesan dan harga murah. Jadi, sekiranya ada yang sedang mencari klinik di Serdang boleh lah ke klinik ini. Serius akan puas hati.

24 Ogos 2015

ENTRI 10: Review Produk - Sabun Pencuci Pinggan Joy

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: ATIQAH HANUM BINTI HARUN



Assalamualaikum w.b.t,



Selalu saya melihat iklan pencuci pinggan jenama joy di television. Hati tertanya-tanya "hebat sangat kah pencuci joy ini?", lama kelamaan hati ini makin tertarik untuk mencuba lalu saya suarakan hasrat hati ini kepada suami. Suami pula bersetuju untuk kami mencuba pencuci ini. Pada sabtu yang lalu kami ke pasaraya, kebetulan pencuci joy tengah ada promosi, apalagi kami pun ambil botol kecil 250ml untuk mencuba dengan harga promosi RM2.90.

Semalam pencuci pinggan didapur telah habis, jadi dengan tidak sabarnya terus saya menggunakan pencuci joy ini untuk mengetahui kebenarannya. Saya mulakan dengan mencuci kuali yang berminyak dengan hanya setitis pencuci joy. Macam tidak percaya minyak tanggal dengan mudah tanpa ada kesan berminyak malahan buih yang ada masih boleh digunakan untuk mencuci pinggan mangkuk yang masih tersisa.

Walaupun jernih,buih masih boleh digunakan

Yang lebih saya suka menggunakan pencuci ini kerana bau nya yang menyegarkan. Jadi betullah iklan di television itu tidak menipu. Jadi selepas ini memang joy akan menjadi pilihan saya sekeluarga. Amboi, dah macam iklan tv pula ye. oh ya, saya tidak dibayar untuk review ini, saja suka-suka untuk review .

ENTRI 9: AYAM GORENG 'ALA-ALA ' MAMAK

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: ATIQAH HANUM BINTI HARUN



Assalamualaikum w.b.t,

Hari ini saja saya nak kongsikan resepi ayam goreng ala-ala kat kedai mamak. Resepi ini ikut sukahati saya saja tapi rasa dia memang sedap.

Bahan-bahan:-

4 ketul ayam
1 sudu besar kari ikan/ayam (saya guna kari ikan)
1 sudu kecil kunyit serbuk
Garam secukup rasa (ikut tahap masin masing-masing, saya guna 1/2 sudu kecil)
2 sudu besar tepung jagung
Daun kari (optional)

Ayam yang telah diperap

Campur dan gaulkan semua bahan tadi pada ayam dan biar hingga sebati dan biar seketika supaya bahan tadi dapat diserap ayam. Kakau nak lebih banyak tepung boleh tambahkan tepung jagung. Saya tidak letak daun kari sebab dekat rumah tiada stok. Kalau anda nak letak daun kari lebih sedap baunya. Lagi banyak ayam, bahan-bahan yang digunakan pun haruslah bertambah ya semua.

Dah siap perap boleh lah digoreng dengan api sederhana. Makan macam tu sahaja pun sedap. Oh ya, resipi ini boleh diubah mengikut citarasa masing-masing ya. Sampai sini dulu (^_^)

21 Ogos 2015

ENTRI 8: KENAPA TIDAK BOLEH VIEW GAMBAR THUMBNAIL DI FOLDER KOMPUTER?

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: ATIQAH HANUM BINTI HARUN/TIPSTRIKWINDOWS.BLOGSPOT.COM


Assalamualaikum w.b.t,

Agak panjang tajuk entri kali ini. Saya nak berkongsi penyelesaian masalah gambar di dalam folder yang tidak boleh di view seperti gambar di atas. Jadinya agak payah untuk kita buat pemilihan gambar kan. Saya berkongsi tips ini untuk peringatan diri saya sendiri sekiranya kejadian sama berulang lagi, Tips ini pun saya dapati dari sebuah blog seberang iaitu penulisnya adalah orang Indonesia. Terima kasih Tips Trik Windows, kalaulah tiada blog ini sampai ke sudah lah saya tidak berjumpa dengan penyelesaiannya.

Dengan hanya satu tick sahaja, gambar akan muncul semula dan boleh di view seperti biasa. Dibawah ini penerangan langkah-langkahnya. 


Langkah-Langkah Mengatasi Gambar Thumbnails Tidak Muncul Di Windows 7

Adapun langkah sederhana untuk bagaimana mengatasi gambar thumbnail tidak muncul di windows 7 adalah sebagai berikut :
  1. Buka Windows Explorer. Kemudian klik menu Organize yang biasanya ada di sebelah kiri atas.
  2. Pilih menu Folder and search options.
  3. Pada tetingkap yang muncul, klik tab menu View.
  4. Hilangkan tanda 'right' yang ada di Always show icons, never thumbnails.
  5. Tick tanda 'right' pada Display file icon on thumbnails.
  6. Klik Apply atau OK.
Dengan begitu, icon gambar thumbnail akan muncul. Untuk lebih mudahnya perhatikan gambar berikut. Klik gambar untuk besarkan.
masuk ke menu Folder and search options
Klik Folder and search options
Menu Folder and search options tab menu View
Tab menu View
Setelah pengaturan diatas, seharusnya icon gambar yang tidak muncul saat thumbnail sekarang sudah dapat muncul kembali. 

Sekiranya masih tiada gambar yang muncul, boleh rujuk di blog ini, Terima kasih banyak kepada blog Tips Trik Windows diatas tip yang diberikan

Nak kulit cantik mulus dengan Dianz Vitamin?

------> Hubungi saya segera 013-6999876

18 Ogos 2015

ENTRI 7: PRODUK REVIEW - DIANZ VITAMIN OK KE?

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: DIANZ LEGACY SDN. BHD






Assalamualaikum w.b.t,

Dianz Vitamin? Mula-mula dulu masa baca memang saya buat tak tahu sahaja sebab tengah setia dengan SHAKLEE, sampai mak ayah pun disuruh makan vitamin dari SHAKLEE sahaja. Tetapi setelah melahirkan anak kedua ni memang kewangan saya agak ketat sedikit jadi nya saya ikhtiar mencari vitamin lain yang setanding SHAKLEE. Cari punya cari terjumpa lah blog dian pixy yang bercerita tentang kebaikan vitamin Dianz ini. Setelah kajian dibuat dan melihatkan testimon-testimoni yang berjaya saya pun tertarik untuk mencubanya. Bukan saya sahaja, satu keluarga saya pun mencubanya ternyata dengan izin Allah kesan yang sangat positif.


Kakak saya yang mengamalkan vitamin ini tidak sampai sebulan memang nampak muka nya lebih cerah dan lekuk-lekuk kesan jerawat semakin bercantum dan menyebabkan kulit dia semakin licin. Untuk emak saya pula, kesan hitan disekeliling mata semakin pudar dan bertenaga katanya. Eh, adik saya yang lelaki tu pun mengamalkan dianz juga. Hasilnya kulit dia kelihatan lebih bersih. Pada diri saya pula hitam bawah mata semakin pudar dan jeragat semakin pudar. 



Yang saya suka tentang vitamin ini ialah bentuk tablet yang kecil dan boleh dihisap,dikunyah atau ditelan begitu sahaja kerana rasa masan manisnya begitu sedap. Saya lebih suka menghisap vitamin ini. Seperti memakan gula-gula pula. Hehe

Kerana menyukai vitamin ini, langsung saya mendaftar menjadi stokis vitamin Dianz ini. Memang berbaloi sangat kerana RM80 sebotol ada 60 tablet. Jika nak jimat boleh ambil sebiji sehari, memang 'confirm' boleh tahan sehingga dua bulan tau. 







Jika berminat boleh menghubungi saya melalui sms/whatsapp di 013-6999 876

ENTRI 6: TASKA CERIA, KOPERASI INSTITUT PERTANIAN SERDANG

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: ATIQAH HANUM BINTI HARUN

Saya dan permata hatiku


Entri kali ini saya nak berkongsi tentang taska yang merupakan tempat saya menghantar permata hati saya iaitu Aisyah dan Bukhari. Alhamdulillah, syukur Allah permudahkan segalanya buat saya kerana bekerja di tempat yang sangat berdekatan dengan taskan anak-anak saya jadi tiada kerisauan kesusahan sekiranya ingin menjenguk mereka.

Taska Ceria di bawah penyeliaan Koperasi Institut Pertanian Serdang. Sesiapa yang bekerja di UPM dan MARDI Serdang boleh lah menghantar anak ke sini ya. Yuran pada saya 'standard' berbanding tempat lain kerana taska yang berhawa dingin dengan kakitangan yang mencukupi sememangnya tiada kerisauan di hati bila menghantar anak-anak lebih-lebih lagi cikgu-cikgu di sana sememangnya terlatih dan berpengalaman. Yuran bagi bayi ialah RM350 manakala bagi umur lain yuran RM300 sahaja. 

Di taska ini terdapat tiga bilik iaitu bilik 1 untuk bayi sahaja. Sekiranya bayi telah pandai dan kuat untuk berjalan, mereka akan dipindahkan ke bilik 2 iaitu bilik untuk anak-anak yang sudah pandai berjalan sehingga umur 3 tahun. Untuk bilik yang ketiga pula khas untuk anak-anak yang berumur 3 tahun keatas dan juga transit. Setiap bilik dilengkapi dengan penghawa dingin dan tv. Bagi bilik 2&3 makanan disediakan oleh pihak taska. Jadinya pada saya dan suami amat berbaloi yuran RM300 itu termasuk 3 kali makan untuk anak-anak. 

Selalunya di bilik Bukhari akan dipasang lagu kanak-kanak. Sewaktu saya mengintai dia, sungguh seronok dia melompat-lompat apabila lagu dipasang. Di bilik 2 juga bukhari dan rakan-rakannya akan diberi permainan lego untuk di main bersama-sama. Wah, terserlah bakat kreatif anak saya merekabentuk dengan lego-lego itu. Untuk bilik 3 tidak banyak yang saya tahu tetapi banyak aktiviti yang dilakukan di bilik 3.

Oh ye, baru-baru ini telah diadakan Jamuan Hari Raya di Taska Ceria bermula pada jam 3 petang. Mestilah saya turut hadir dengan membawa kek coklat bagi memeriahkan majlis tersebut. Sungguh meriah dan siap ada pemberian duit raya dari pihak taska dan juga dari cikgu mereka. Terima kasih cikgu. 

Kek coklat yang dibuat sendiri

Diantara cikgu-cikgu Taska Ceria (memang ceria!)

Diantara ibu bapa yang hadir

Si abang yang sibuk menyelongkar beg emaknya

Mungkin ada yang tertanya-tanya taska ini berada dimana kan? Taska ini betul-betul berada di dalam Institut Pertanian Serdang. Boleh gunakan 'google maps' pasti akan terpapar tempatnya. 


17 Ogos 2015

ENTRI 4: PENGALAMANKU - KESAN PENGAMBILAN PERANCANG

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: GOOGLE


Antara kaedah merancang



Assalamualaikum w.b.t

Sewaktu kelahiran Ahmad Bukhari,permata hati saya yang sulung tidak pernah terlintas di fikiran untuk menggunakan perancang kerana takut akan kesan-kesan sampingan yang akan di alami. Malahan suami juga tidak bersetuju saya menggunakan perancang lebih-lebih lagi pengambilan pil kerana takut akan kesan yang tidak baik terhadap diri saya. Hasilnya, lahirlah permata hati kedua saya dengan jarak kehamilan yang dekat dengan anak pertama. Setelah kelahiran anak kedua iaitu Aisyah Bahirah, saya mula memikirkan untuk menggunakan perancang bagi mengelakkan mengandung kali ketiga dalam masa terdekat. Saya bercadang menjarakkan kehamilan dalam tempoh 3-4 tahun. Kesian anak sulung saya yang tidak puas bermanja dengan saya. Dalam hati marah dan kecewa dengan diri sendiri kerana tidak mampu berlaku adil dengan anak-anak.

Untuk mengelakkan perkara sama berulang, saya pun membuat keputusan sendiri untuk mengambil perancang jenis suntikan iaitu Depo-provera. Jururawat akan suntik perancang ini dibahagian punggung. Saya memilih cara ini kerana takut terlupa memakan pil. Tetapi kesan yang saya alami dengan pengambilan suntikan ini sangat menyedihkan. Rambut saya gugur dengan banyak dan teruk sehinggakan di mana-mana pelusuk rumah pasti terdapat helaian rambut saya. Vitamin,minyak kelapa dara dan pelbagai supplemen yang diambil untuk rambut tidak berjaya. Setelah dua kali suntikan, saya berhenti dari mengambil perancang ini dan bertukar kepada pil. Barulah keguguran rambut berkurangan. Alhamdulillah dengan izin Allah. Selain itu,kesan yang saya alami adalah penurunan penghasilan susu badan tetapi setelah bertukar kepada pil Norriday,penghasilan susu badan kembali banyak semula. Syukur sekali lagi dengan izin Allah.

Inilah pil noriday, perlu diambil setiap hari



Bagi pengambilan pil Norriday pula, penghasilan susu memang kembali seperti biasa tetapi malangnya nafsu makan saya menjadi-jadi dan merisaukan saya. Tidak sampai sebulan saya berhenti dari mengambil sebarang pil perancang. Sesungguhnya pada saya pengambilan ubat peancang memang tidak bagus untuk badan tapi apakan daya kita manusia biasa mana mampu untuk merancang sendiri jika tiada kekuatan dan disiplin. 

Jadinya setelah perbincangan dengan suami saya bercadang untuk memasang alat IUD bagi merancang anak yang seterusnya. Tetapi saya perlu berjumpa doktor terlebih dahulu untuk konsultansi bagi perancang jenis ini. Mujur suami saya memahami, dan dalam masa terdekat ini dengan izinNya saya akan memasang alat ini. Pengalaman alat perancang IUD ini akan saya kongsikan setelah berjaya memasangnya.

14 Ogos 2015

ENTRI 3: RESIPI KEK COKLAT MOIST PALING SEDAP DAN MUDAH

TEKS: ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR: ATIQAH HANUM BINTI HARUN

 Kek yang telah siap (abaikan topping yang comot itu,huhu)

Assalamualaikum w.b.t

Entri kali ni saya nak share resipi kek coklat yang sedap dan mudah. Kek ini jika dibakar pun ianya lembab, kalau kukus lagi lembab dan lebih sedap bila dikukus. Resipi ini saya dapati dari blog INI,
Resipi asal dalam bahasa inggeris, jadi saya kongsikan resepi kek nya disini ya.



Bahan-bahan : 
2 cawan tepung gandum
2 cawan gula (saya kurangkan kepada 1 3/4 cawan)
3/4 cawan serbuk koko Hershey's (saya guna serbuk koko timbang kedai Bakery)
2 tsp soda bikarbonat
1 tsp baking powder
2 biji telur saiz A
1 tsp garam
1 cawan buttermilk ( 1 cawan susu segar + 1 sudu besar cuka/lemon:biarkan selama 5 minit)
1 cawan Mazola vege oil @ minyak sayuran
1 1/2 tsp vanilla extract 
1 cawan air mendidih (boleh letak coffee/nescafe) 

Cara Penyediaan : 
1) Mual-mula panaskan oven pada suhu 300 F (lebih kurang 150 C) untuk membakar secara perlahan (slow baking). Supaya oven dah ready bila nak dibakar. Sekiranya nak dikukus,pastikan air pengukus dipanaskan terlebih dahulu

2)Lenser loyang dengan shortening dan taburkan sedikit tepung untuk mengelakkan kek melekat atau gunakan kertas baking.

3)Pukul telur dan gula hingga sebati,diikuti semua bahan kecuali air panas. Setelah semuanya sebati barulah air panas dimasukkan. Pada yang menggunakan mixer,boleh putar pada kelajuan sederhana sehingga semua bahan sebati. Saya hanya pukul dengan tangan sahaja.


4)Tuangkan ke dalam loyang. Bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak sepenuhnya. Jika cup cake, dalam 20 - 30 minit (mengikut oven masing-masing) dan pastikan menggunakan cawan kertas khas untuk cup cake. 

5)Jika menggunakan pengukus,pastikan loyang ditutup dengan aluminium foil atau balut tudung periuk dengan kain cotton bagi mengelakkan air jatuh dan masuk ke dalam adunan kek. Kukus selama 30 minit bagi bekas kecil atau 45 - 60 minit bagi adunan di dalam loyang.

6) Cucuk kek dengan lidi atau pisau. Sekiranya pisau atau lidi yang dikeluarkan bersih, maknanya kek telah masak. Sekiranya terdapat adunan kek yang masih basah melekat pada pisau atau lidi, bakar lagi kek dengan tambahan masa 5 minit dan uji lagi selepas itu sehingga kek masak sepenuhnya.

Sejukkan kek sebelum dinikmati atau dihias.



 Buat dua-dua sekali, bakar dan kukus

Cup cake untuk di bakar

Cup cake setelah dibakar

  
Kek yang dikukus

Hasil kek yang dikukus lebih gebu dan moist

 Hasil kek yang dibakar,tetap moist walaupun bakar

Icing untuk cupcake


Untuk topping coklat (resepi Anis Kek Coklat):

1 cawan minyak masak
1 cawan serbuk koko
1 cawan susu pekat

Panaskan minyak masak dan masukkan serbuk koko dan susu kemudian kacau. (sekiranya pekat sangat boleh masukkan sedikit full cream, fresh milk atau kurangkan serbuk koko). Dah masak boleh lah hias kek.


Okay, sampai disini saja resepi kali ini. Sekiranya ada apa-apa yang nak ditanya boleh lah pm atau whatsapp saya.





  



10 Ogos 2015

ENTRI 1: Jamuan Raya Bahagian Pengembangan dan Industri Asas Tani

TEKS : ATIQAH HANUM BINTI HARUN
GAMBAR : FB KAK FYZA

Assalamualaikum w.b.t,

Pada Jumaat yang lepas, satu Majlis Jamuan Raya bahagian saya bekerja telah diadakan. Sememangnya satu majlis yang sangat meriah dan menyeronokkan. Al maklumlah, diwaktu jamuan begini baru lah kami semua dapat berkumpul dan berjumpa beramai-ramai. Bermacam hidangan yang terhidang dari makanan tradisional hinggalah ke menu barat. 

Pada permulaan majlis, Timbalan Pengarah Bahagian saya memberikan ucapan dan seterusnya majlis bermula pada jam 10 pagi. Majlis ini lebih meriah pada tahun lalu kerana terdapat set karaoke untuk memberikan peluang kepada kami semua untuk menyanyi. 

Disebabkan saya asyik menikmati juadah yang disediakan, jadinya gambar semua diambil dari facebook rakan sekerja iaitu Kak Fiza yang sememangnya rajin mengambil gambar. Terima kasih ya Kak Fiza :) . Baiklah, jom kita layan gambar-gambar sepanjang majlis berlangsung.


Antara menu yang terhidang 'Western Corner' dan Sate Willy

 Sakan kami bergambar

 Khusyuk memilih lagu untuk dinyanyikan

 Haa, ini dia artis bahagian kami, En. Fakhri. Suara beliau memang terbaik 


Inilah Kak Fiza yang rajin mengambil gambar dan aiskrimnya

 Inilah sebahagian keluarga besar saya di BPPIAT



5 Ogos 2015

Salam Pengenalan dari Penulis

TEKS  : ATIQAH HANUM HARUN
FOTO : ATIQAH HANUM HARUN 

 
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, akhirnya yang dicita-citakan telah pun terlaksana. Hajat di hati ingin membuka blog secara berguru telah pun tercapai. Inilah blog berguru pertama saya yang berjaya dibuat. Sebelum berceloteh panjang, moleklah sekiranya saya memperkenalkan diri kepada semua.

Saya, Atiqah Hanum binti Harun merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur. Telah dilahirkan pada bulan kemerdekaan pada tanggal 6 Ogos 1987 bertempat di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Merupakan anak kedua daripada empat orang beradik, saya sememangnya merupakan kakak yang garang dan sensitif (menurut adik beradik saya). Saya telah pun berkahwin pada tahun 2012 dan Alhamdulillah, saya telah dikurniakan sepasang cahaya mata hasil perkahwinan dengan suami tercinta. Anak yang sulung berumur dua tahun dan yang kecil baru berumur 6 bulan


Saya sewaktu kursus gubahan
Dari segi pendidikan, saya bukanlah seorang yang bijak. Saya amat lemah dari segi teori sewaktu pembelajaran. Disebabkan keputusan saya yang tidak begitu cemerlang, saya telah meminta ibu saya untuk menyambung pelajaran ke sekolah vokasional iaitu Sekolah Menengah Teknik Dato' Lela Maharaja, Rembau, Negeri Sembilan dan memilih bidang Hortikultur Hiasan & Landskap. Alhamdulillah, rupanya saya amat mudah memahami pelajaran dalam bentuk amali dan keputusan peperiksaan juga memberangsangkan. Selepas tamat SPM saya pernah memasuki UiTM dalam bidang Arkitek Landskap tetapi malangnya silibus yang dipikul bagi saya amat berat dan dengan pasrah saya berhenti dari UiTM dan menyambung pelajaran di Institut Pertanian Malaysia. Alhamdulillah, memang saya cemerlang dalam pendidikan yang mempunyai amali, bukan teori semata-mata. Di Institut Pertanian ini saya telah memilih bidang pengkhususan Landskap kerana minat saya terhadap bidang Landskap dan berjaya menamatkan pelajaran dengan CGPA 3 ke atas.

Setelah tamat belajar, saya dan rakan-rakan sekolej berjaya mendapatkan pekerjaan di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC) dengan jawatan sebagai Operator Mesin. Amat membanggakan kerana saya dan rakan-rakan merupakan antara operator wanita pertama yang membawa mesin-mesin penyelenggaraan di padang golf itu. Setelah beberapa bulan bekerja di KLGCC saya telah ditawarkan kerja sebagai Pembantu Penyelidik (Kontrak) di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Hampir setahun saya di MPOB, saya ditawarkan pula pekerjaan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pembantu Ehwal Ekonomi. Bekerja sebagai Pembantu Ehwal Ekonomi sememangnya amat memberi tekanan kepada saya kerana bebanan kerja yang banyak disebabkan kurang pekerja dikawasan tempat saya bertugas. Akhirnya setelah hampir dua tahun saya bersama LPP, agensi pekerjaan yang amat dinanti-nanti saya akhirnya merisik saya untuk berkhidmat sebagai Pembantu Pertanian di Jabatan Pertanian Serdang. Alhamdulillah, sehingga entri ini ditulis saya telah berkhidmat bersama Jabatan Pertanian hampir tiga tahun.

Saya amat minat memasak terutamanya kek dan 'dessert'. Minat ini semakin bercambah dari hari ke hari apabila saya ditempatkan di Unit Pembangunan Produk & Teknologi Serdang yang terlibat dalam menganjurkan Kursus Makanan. Bukan setakat memasak sahaja, malahan minat saya terhadap perniagaan juga tinggi. 

Sewaktu Kursus Bakeri

Mungkin disebabkan darah berniaga ibu mengalir di dalam badan menyebabkan saya amat suka untuk berniaga sejak dari kecil lagi.  Sejak dari kecil saya membantu ibu saya berniaga menjual kuih muih di gerai tepi jalan. Pada mulanya saya amat malu untuk membantu ibu berniaga tetapi lama kelamaan datang satu perasaan bangga berniaga walaupun di gerai tepi jalan sahaja. Pernah saya membawa kuih muih ke sekolah untuk dijual kepada rakan sekelas dan ianya habis dijual. Bermula dari situ, setiap hari saya membawa kuih untuk dijual kepada rakan-rakan. Bermulanya alam pekerjaan,saya mula berkecimpung dengan perniagaan di internet pula sehinggakan bermacam produk yang telah saya jual di internet iaitu produk kesihatan dan kecantikan. Sehingga sekarang saya masih lagi berniaga di internet sebagai pendapatan sampingan.

Disebabkan minat memasak dan berniaga juga menyebabkan saya suka untuk membeli dan membaca buku-buku resipi terutamanya buku kek dan masakan. Saya tidak pandai memasak tetapi disebabkan minat saya terhadap masakan,saya belajar sendiri melalui blog-blog masakan yang terkenal di alam maya terutamanya blog Che Mat Gebu. Selain itu, bahan bacaan yang amat saya minati adalah tulisan Chef Li dan Dr. Azizan Osman. Melalui tulisan mereka, saya mendapat keyakinan dalam berniaga dan secara tidak langsung memotivasikan diri

Untuk berkenalan dengan lebih dekat lagi, bolehlah menambah saya sebagai rakan di  Personal FB saya atau 'follow' blog saya.